Rabu, 26 Januari 2011

28 Tahun Lalu...

pasukan bola sepak sk kuala kupang 1983


Aduhai...

Waktu ini aku berusia 12 tahun. Darjah enam. Kalau sekarang disebut Tahun Enam. Mewakili SK Kuala Kupang, Baling, Kedah. Position aku - defender (pertahanan) kiri. Tak tau ngapa jurulatih, Cikgu Kamarudin, letak aku di kiri. Aku bukan kidal. Tak kisah. Letak kat mana pun tak apa asalkan wakil sekolah dan berada dalam first eleven (kesebelasan utama).

 Pasukan kami antara yang digeruni waktu itu dalam daerah Baling dan Zon Kuala Pegang. Tiap kali perlawanan, kami pastinya membelasah pasukan lawan. Sekurang-kurangnya empat gol ke atas (ini bukan takbur tapi hakikat). Ada yang kena belasah 7-0, kena bolos sampai 9-0 dan ada juga sedozen.

Walaupun aku bertindak sebagai defender, kemampuan aku untuk menjaringkan gol juga terserlah. Dalam satu perlawanan, aku betul-betul membuktikannya. Semua rakan-rakan terkejut. Cikgu Kamaruddin antara manusia paling terkejut. Penyokong apatah lagi. Ya, aku mencatat sejarah peribadi. Sejarah yang hingga kini pasti membuatkan aku tersenyum sorang-sorang. AKU MENJARINGKAN GOL SENDIRI! Hahahaha...hampeh betoi!

Aku masih ingat. Setiap kali selepas perlawanan, keesokannya kami sepasukan dijamu sup tulang. Kami dilayan umpama golongan VIP (Very Important Person). Tempat jamuan tak lain tak bukan di kantin. Ia penuh nostalgia. Sambil menghirup sup, meratah daging dan menokak tulang, kami bercerita pasal game yang dilalui dan akan ditempuhi. Cikgu Kamaruddin, Cikgu Subhi, Cikgu Hussin (sekadar menyebut beberapa nama) mengasak dengan kata-kata semangat!

Selalunya sebelum satu-satu perlawanan, kami semua dipastikan mengambil glukosa untuk menguatkan fizikal. Ini leceh. Bukan aku tak suka tapi cuba bayangkan satu sudu untuk 18 pemain. Berkongsi begitu ada ketika menjengkelkan (macam la aku ni pembersih sangat). Kena pula yang dapat giliran pertengahan atau pengabih. Bukan dapat glukos tapi sup glukos. Maklumlah, bukan semua antara kami yang rajin gosok gigi pagi-pagi. Hahahaha...

Mai aku perkenalkan sorang-sorang pasukan kami:

(duduk dari kanan): Mohd Asri Baharum (tengah), AKU (bek kiri), Fikri Haji Saad (striker), Ahmad Khalil Abdul Aziz (midfield), Saiful Anuar Hashim (top striker), Mohd Hidir (sayap kiri), Mohd Akmal Ishak (sayap kanan) dan Abu Bakar Ismail (midfield).
(berdiri dari kiri): Nasrul Fatah (sayap kanan), Shamsudin Saman (last bek), Mohd Zaki Yoh (goal keeper), Zulkifli Dollah (goal keeper), Mokhtar Che Nai (bek kanan), Norazihan Basri (striker), Shuhaimi Ghazali (top striker), Azlan Ahmad (striker), Adizan (stopper), Mohd Badri Md Isa (midfield) dan Badrul Akmal (midfield).
Warna jersi rasmi: Baju belang merah kuning dan seluaq biru gelap. Tiada but hanya berkaki ayam dan dihiasi ankle guard (bayangkanlah kalau tersepak betih lawan atau lawan menyepak betih kami).

Hingga jumpa lagi. InsyaAllah...!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan