Isnin, 31 Januari 2011

AKU RINDU ASRAMA

(berdiri belakang dari kiri): Rafie Salleh, Nasaruddin Ahmad, Mawardi Mansor, Najmi Elias, Mohd Rofae Isa dan Mohd Zulhelmee Hashim.




(berdiri tengah dari kanan): Shafaridi Mat Ali, Azmi Ibrahim, Mohd Zaidi Yob, Azhan Zakaria, AKU, Kamarul Azmi Darus dan Muhammad Rafiqan Abdul Rahman.
(duduk dari kiri): Khairil Xanari Khalid, Badrul Hisham, Shn ahruNizan Mat Isa, Jasni Salleh, Mohd Rodzi Osman dan Mohd Sobri Osman.



Ini tahun 1984.  Aku dah berusia 13 tahun. Teruna sunti (aku nak tergelak bila sebut perkataan ni). Sedar tak sedar aku dah tinggalkan sekolah rendah dan mula belajar memanjat tangga sekolah menengah pula. Paparan gambar di atas adalah penghuni asrama Kamar D, Sekolah Menengah Syed Abu Bakar (SMSAB kini SMKSAB).
Uniknya asrama sekolah ini kerana hanya mempunyai satu blok bertingkat tiga. Paling bawah  menempatkan bilik menelaah (study kata budak sekarang) yang dipisahkan antara pelajar lelaki dan perempuan, stor sukan, bilik solat dan tandas. Tingkat dua, kamar untuk pelajar lelaki selain bilik warden dan tandas. Tingkat tiga khusus untuk pelajar perempuan dan warden juga tandas.
Indah untuk dikenang selama 3 tahun tinggal di asrama sebelum aku mengangkat kaki pada 1987 kerana berpindah sekolah. Bukan pasal tak seronok. Tidak juga disebabkan tak ceria. Jauh sekali berasa jemu. Tetapi kerana sekolah kesayanganku itu tidak menyediakan aliran sains. Jadi suka atau tidak, aku terpaksa melangkah keluar dengan seribu kenangan yang amat sukar digambarkan dengan perkataan.
Sekadar imbasan sejenak. Selama tinggal di asrama, aku banyak mengumpul rakan dan mencambahkan benih hubungan yang murni tanpa mengira jantina. Ayah sudah berpesan, tinggal tanpa kawalannya aku harus pandai menyesuaikan diri. jangan cari gaduh yang akhirnya mencipta musuh. Sebaliknya tambah kenalan untuk mengerti makna persahabatan. Aku pegang pesan itu. Kalau dulu aku hanya mengenali rakan sekampung, tapi kini aku mengenal rakan yang datang dari pelbagai kampung.
Dari sehari ke sehari, pergaulan aku bersama rakan baru dihiasi bibit kemesraan. Harus juga diakui, norma hidup berasrama banyak mengajar aku saling membantu rakan sekeliling. Mereka umpama keluarga kedua aku. Susah senang, sakit demam, riang gembira, suka duka kami berkongsi bersama. Perselisihan faham itu adat. Perdamaian itu pula adab. Jadi, pertengkaran, pergaduhan, percakaran kami umpama kelahi adik-beradik. Pagi bermasam muka, petang sudah boleh bermain bola bersama-sama. Alangkah...!
Lumrah. Setiap pertemuan penghujungnya adalah perpisahan. Ikatan mesra yang dibina aku dan kawan-kawan selama tiga tahun bernoktah selepas tamat SRP (Sijil Rendah Pelajaran kini PMR) pada 1986. Tangisan pada hari-hari terakhir kami di SMSAB menceritakan segalanya. Namun hakikat tetap hakikat. Ia pasti hadir walau kita sedaya upaya mengelak. Kami berpisah pada tahun itu untuk menyambung pelajaran di sekolah pilihan masing-masing.
Hingga kini, apabila aku melihat gambar ini secara jelas nostalgia lama tertayang satu-satu di depan mata. Walau tidak semua ku ingat namun memadai sebahagiannya saja kerana ia sudah cukup memberitahu kalian bahawa selepas keluarga dan saudara, rakan-rakan adalah pelengkap hidup kita.
Sahabat, walau di mana kalian berada, aku masih berasakan kita seperti dekat....!
Hingga jumpa lagi. InsyaAllah...!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan